Monday, February 8, 2010

Formula Dua Beradik

2010/02/07

DI SEBALIK kemasyhuran bergelar atlit dalam kelompok elit skuad kebangsaan, tidak ramai tahu betapa dua beradik kacukan tempatan dan Kanada ini terpaksa berkorban masa selain mengetepikan keseronokan usia remaja demi memastikan komitmen mereka dalam bidang sukan dapat diberikan secara total.

Aksi menarik Katrina.
Bukan saja fokus utama dalam latihan sukan di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) harus diberi tumpuan, pembelajaran di sekolah juga tidak diabaikan meskipun terpaksa melalui jadual waktu belajar yang ketat.

Begitulah rutin atlit gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi, 16, dan kakaknya, atlit renang berirama negara, Katrina Ann, 18, yang 'mengabdikan' diri dalam dunia sukan berkenaan sejak usia kanak-kanak lagi.
Jadual harian mereka bergelar atlit dan pelajar memang padat dan tidak salah mengatakan kejayaan dua beradik ini menguasai bidang sukan dan akademik serentak sungguh membanggakan.

Bayangkan saja, sebagai pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mereka perlu bergegas ke pusat latihan seawal pagi, kemudian mengikuti sesi persekolahan, seterusnya menyambung latihan sebelah petang dan perlu pula menghadiri kelas malam di sekolah. Sudah pasti ia bukan rutin yang mudah untuk dilalui seseorang.

Baru-baru ini Farah membuktikan dia bukan saja baik dalam arena sukan gimnastik negara, malah turut cemerlang dalam pelajaran apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik PMR 2009 SSBJ selepas memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan PMR lalu.

"Menguasai dua bidang ini menjadi kepuasan peribadi yang tidak terhingga buat saya. Dorongan dan galakan daripada bapa (Abdul Hadi Ahmad) dan ibu (Kimberley Gagnon) banyak membantu saya untuk sampai ke tahap ini," kata Farah.

Katrina mengakui, dalam apa saja perkara yang dia dan Farah lakukan, ibu sentiasa menjadi tulang belakang mereka dan banyak memberi tunjuk ajar.

"Ibu sangat memahami jiwa kami, malah ibu umpama rakan baik untuk kami berdua, begitu juga dengan bapa. Mereka (bapa dan ibu) juga aktif bersukan sebelum ini, jadi bukan satu halangan untuk kami untuk aktif dalam bidang ini," katanya.

Katrina (kanan) dan adiknya, Farah.

Katrina dan Farah mula menceburi bidang sukan ketika masing-masing berumur enam tahun. Pencapaian mereka berdua dalam sukan gimnastik dan renang berirama sungguh menakjubkan.
Mereka berdua meraih lebih 100 pingat dan anugerah pada beberapa kejohanan serta pertandingan dalam sukan berkenaan, bermula daripada peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabangsa.

Kini mereka dalam persiapan untuk kejohanan Sukan Asia ke-16 yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada November tahun ini. Selain itu Farah dan Katrina mempunyai seorang adik bongsu yang juga aktif dalam sukan, iaitu Asiyah Ann, 12.

KATRINA ANN SELAIN bidang sukan yang diceburinya, barangkali ada antara rakan dan kenalan tidak mengetahui Katrina pernah bergelar 'Bintang Comel' apabila mengungguli gelaran juara, Bayi Johnson Tahun 1993, kali pertama pertandingan itu diperkenalkan.

Ia menjadi kenangan manis dalam dirinya walaupun ketika itu dia baru berusia 11 bulan. Namun semua itu tinggal kenangan dan fokusnya kini hanya pada sukan serta hasrat menyambung pelajaran dalam prauniversiti selepas keputusan SPM diumumkan nanti.

"Buat masa ini saya hanya fikir untuk lanjutkan pelajaran di SSBJ (prauniversiti). Di sini (SSBJ) jadual harian pelajar diatur pihak sekolah, jadi mudah untuk saya menjalani latihan dan memberi tumpuan pada pelajaran," katanya.

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Katrina berkata, selain kecemerlangan yang dikecapinya dalam sukan ketika ini, dia menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan pengajian bahasa.

Katanya, kecenderungan itu didorong kerana dia jenis ulat buku dan gemar membaca buku, terutama novel fiksyen dan bukan fiksyen berbahasa Inggeris.

"Jika hendak fikirkan apa perlu saya lakukan selepas tidak lagi terbabit dalam sukan, saya rasa paling sesuai untuk diri saya adalah dua bidang berkenaan (undang-undang atau bahasa).
"Minat membaca cukup mendalam diri saya, rasanya itulah pilihan tepat buat saya. Lagipun, memang penting untuk saya mula memikirkan masa depan nanti memandangkan tidak selamanya saya akan menjadi atlit," katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan sukan pula, Katrina kini memberi komitmen bersama negara untuk sukan renang berirama bagi temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
"Sebagai atlit, satu-satunya impian saya adalah menyertai pasukan kebangsaan ke Sukan Olimpik. Sasaran saya ketika ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012," katanya.

FARAH ANN DARIPADA segi perwatakan, Farah gadis yang lebih ceria, mesra dan pandai bergaul. Malah, tatkala bersua dengannya, senyuman tidak pernah lekang dari bibir gadis muda berbakat ini.

"Kalau tak pandai senyum, tak boleh jadi ahli gimnastik," katanya bergurau.
Bercakap lanjut mengenai sukan gimnastik, Farah berkata, selain minat mendalam, sukan terbabit memberi cabaran hebat daripada segi fizikal dan mental.

Lagi pula, katanya, tidak ramai individu mampu menyertai sukan itu jika tidak memiliki bakat dan kebolehan semula jadi dalam diri mereka.

"Sebelum kakak menyertai renang irama, dia juga atlit gimnastik artistik. Itu antara dorongan untuk saya turut serta dalam sukan ini, tambahan pula ibu bapa saya mula menghantar kami berdua belajar menguasai sukan ini sejak kecil lagi.

"Bagi saya, sukan (gimnastik) ini sungguh istimewa, ia bukan saja membuatkan saya teruja, malah membina keyakinan dalam diri kerana bakat yang saya miliki," katanya.
Selain sukan, Farah yang memiliki rupa paras menawan sebelum ini pernah menjadi model untuk iklan komersial di kaca televisyen ketika zaman kanak-kanak.

Bagaimanapun, kata Farah, dia tidak dapat meneruskan minat dalam dunia peragaan dan model memandangkan komitmen dalam sukan lebih utama.
"Berkecimpung dalam bidang sukan mengehadkan saya untuk melakukan aktiviti luar yang lain. Mungkin bukan sekarang, tetapi satu masa nanti jika ada tawaran menjadi model, saya tidak akan menolak," katanya tersenyum.

Mengenai masa depannya, apabila tidak terbabit dalam sukan gimnastik nanti Farah berminat menceburkan diri dalam bidang penyiaran dan komunikasi.
"Saya suka berjalan, mencari kenalan dan mencuba sesuatu baru. Lagipun, saya tidak suka kerjaya yang terikat dengan waktu pejabat, sebab itu saya rasa dunia penyiaran adalah pilihan tepat buat saya," katanya.

Profil NAMA: Katrina Ann Abdul Hadi
UMUR: 18 tahun
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
SEKOLAH: Sekolah Sukan Bukit Jalil
ASAL: Subang Jaya, Selangor
ACARA SUKAN: Atlit renang berirama negara dan pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar; Kejohanan Dunia 2007 di Melbourne, Australia; Kejohanan Remaja Dunia 2009 di St Petersburg, Russia
PENCAPAIAN TERBAIK: Tempat kedua dalam Kejohanan Age Group 2009 di Tokyo, Jepun
HOBI: Membaca buku, selam skuba dan memanjat tembok batu

NAMA: Farah Ann Abdul Hadi
UMUR: 16 tahun
KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
SEKOLAH: Sekolah Sukan Bukit Jalil
ASAL: Subang Jaya, Selangor
ACARA SUKAN: Atlit gimnastik artistik negara dan mewakili Malaysia ke Kejohanan Olimpik Remaja 2007 dan 2009 di Sydney, Australia; Kejohanan Sekolah Asian 2007 di Singapura; Terbuka Vietnam 2008 dan Piala Afrika Selatan 2009
PENCAPAIAN TERBAIK: Emas dan perak pada Terbuka Vietnam dan gangsa pada Piala Afrika Selatan
HOBI: Membaca buku, aktiviti pantai, selam skuba dan snorkeling